Kejohanan Sukan Sekolah-Sekolah Agama Peringkat Negeri Kedah

    

Pada 19 dan 20 Mei 2010 telah diadakan Kejohanan Sukan Sekolah Menengah Agama JHEAIK peringkat Negeri Kedah kali ke-11. Kejohanan ini melibatkan 3 buah zon iaitu Zon Utara, Zon Selatan dan Zon Maktab Mahmud. Seramai 557 orang pelajar, 53 orang pegawai / urusetia telah menjayakan kejohanan sukan pada hari tersebut. Kejohanan ini telah berlangsung di MSI-UNIKL Kulim, Politeknik Kulim dan Mini Stadium Keladi. Acara-acara sukan yang telah dipertandingkan ialah badminton, sepak takraw, bola sepak, bola jaring, bola tampar dan ping pong (L & P). Kejohanan ini telah dirasmikan oleh Yang Berbahagia Tuan Haji Fathullah Suhaimi bin Haji Ismail,  Timbalan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri Kedah. Kejohanan sukan ini telah berlangsung dengan lancar. Penyelaras Umum bagi kejohanan ini ialah Encik Azizan Bin Ahmad (Nazir Sekolah-Sekolah Agama JHEAIK). Keputusan bagi setiap acara yang dipertandingkan adalah seperti berikut :

Juara Badminton perseorangan Lelaki

Mohd Haris Iqbal B. Abu Hassan, SMA Darussaadah Titi Besi

Juara Badminton perseorangan Perempuan

 Shamimi Abd. Halim, Maktab Mahmud Padang Terap

Juara Badminton beregu lelaki 

Mohd Zaher B. Bidin dan Mohd Tarmizi B. Din, SMA Maahad Dini

Juara Badminton beregu perempuan

Intan Nur Shuhaida Bt. Bidin dan Farisah Bt. Mohammad, SMA Darussaadah Titi Besi

Juara Ping pong perseorangan Lelaki

Mohammad Faris B. Che Sharif, Maahad Tahfiz Abidin

Juara Ping Pong perseorangan Perempuan 

Siti Nur Syazwani Bt. Alias, Maktab Mahmud Kulim

Juara Ping pong beregu Lelaki

Mohammad Syazwan B. Solihin dan Mohd Baihaqi B. Abd. Basir, SMA Nahdzah Bukit Besar

Juara Ping Pong beregu Perempuan    

Nur Thaqifah Bt. Khairi dan Khadijah Bt. Abdullah, Maktab Mahmud Yan

Juara Bola Tampar Lelaki  

Maktab Mahmud Pendang

Juara Bola Tampar Perempuan                       

SMA Yayasan Khairiah

Juara Bola Jaring                                            

SMA Yayasan Khairiah

Juara Bola Sepak                                            

Maktab Mahmud

Juara Sepak Takraw                                       

SMA Annajah Titi Gantung

            Juara keseluruhan bagi memegang piala pusingan telah dimenangi oleh Zon Maktab Mahmud  dengan bilangan 5 emas, 9 perak dan 3 gangsa. Majlis penutupan bagi kejohanan sukan pada kali ini telah dilangsungkan di Mini Stadium Keladi dan Acara Perasmian Penutupan serta pembahagian hadiah dirasmikan oleh Yang Berhormat. Dato` Haji Mohamed bin Mat Rasul, Exco Agama, Pelajaran dan Koperasi Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman.

Categories: Aktiviti

Kursus Asas Pengajian Khat Guru-Guru Sekolah Menengah Agama JHEAIK Siri Pertama

        

This slideshow requires JavaScript.

Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK) telah mengadakan satu kursus asas pengajian khat kepada guru-guru sekolah menengah Agama pada 27 hingga 29 Mei 2010 bertempat di Hotel Seri Malaysia, Sungai. Petani, Kedah. Kursus yang telah diadakan selama 3 hari ini adalah bertujuan memberi pendedahan kepada pengenalan dan kaedah penulisan khat serta keseluruhannya dengan menggunakan teknik yang betul. Seramai 60 orang guru daripada 30 buah sekolah telah terlibat bagi menjayakan program tersebut.

Kursus ini telah diselia oleh 7 orang pemudahcara yang bertugas daripada JHEAIK. Kursus ini telah diajar oleh guru khat yang bertauliah iaitu Al Fadhil Ustaz Ahmad bin Mustafa (Mantan Pensyarah Universiti Ummul Qura, Makkatul Mukarramah). Buku-buku serta alatan yang digunakan sepanjang kursus tersebut adalah disediakan oleh JHEAIK. Selain memberi pendedahan kepada cara penulisan khat dengan menggunakan kaedah yang betul, di akhir kursus tersebut dengan diadakan pertandingan menulis khat yang tercantik yang mana hadiah-hadiah para pemenang telah ditaja oleh Hotel Seri Malaysia.

Juara bagi pertandingan tersebut telah dimenangi oleh Ustaz Khairi Bin Abdul Manan (SMA Assiddiqiah Al Islamiah, Padang Kerasak, Naka, Kedah) dengan kutipan markah yang tinggi iaitu 8/10. Tempat Kedua Ustaz Zakaria Bin Johari (SMA Ihya Ul Ulum Diniah, Spg Empat). Manakala tempat ketiga Ustaz Asmadi Bin Musa (SMA DARIS, Sg Jagung, Sungai Petani). Kursus ini telah disempurnakan dengan jayanya dan pihak yang terlibat telah memberikan kerjasama yang baik dan sepenuhnya.

Categories: Uncategorized

Kursus Asas Program Bahasa Arab Peringkat Negeri Kedah

          

This slideshow requires JavaScript.

  Pada 8 hingga 10 April 2010, seramai 50 orang guru Sekolah Menengah Agama dari 30 buah sekolah telah menghadirkan diri ke Kursus Asas Program Bahasa Arab Peringkat Negeri Kedah anjuran JHEAIK, selama 3 hari di Hotel Seri Malaysia. Seramai 6 orang urusetia yang telah bertugas sepanjang kursus tersebut diadakan. Kursus ini telah dirasmikan oleh Al Fadhil Assyeikh Ismi Anuar B. Hj Abdul Halim, AMK, BCK, Pendaftar Sekolah-Sekolah Agama JHEAIK yang juga KPP Pendidikan JHEAIK. 2 orang penceramah  telah dijemput bagi melengkapi kursus ini berdasarkan kepada tajuk yang bersesuaian dengan bidang masing-masing.

          Penceramah pertama ialah Assyeikh ‘Alauddin bin Dato’ Hj Abu Bakar (Pegawai Agama Daerah Kota Setar). Beliau memberikan  ceramah di bawah tajuk Fiqh Lughah. Manakala penceramah kedua pula ialah Al Fadhil Ustaz Assyafizrul b. Abd. Hamid dengan tajuknya ‘Mudah Nahu Sorof’. Pada hari pertama, acara perasmian telah diadakan. Kursus bermula pada hari kedua yang mana dimulakan dengan ceramah Fiqh Lughah dan seterusnya di ambil alih oleh Ustaz Assyafizrul yang mana membincangkan tajuk Nahu Sorof.

        Hari terakhir telah diadakan sesi soal jawab kepada permasalahan nahu dan soraf. Kursus asas ini telah berlangsung dengan jayanya dan semua pihak mendapat manfaat serta kerjasama yang diberikan adalah amat memuaskan

Categories: Aktiviti

Hari Kesenian Kanak-Kanak Peringkat Negeri Kedah

This slideshow requires JavaScript.

Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) telah menganjurkan hari ‘Kesenian Kanak-Kanak’ peringkat Negeri Kedah selama satu hari di bawah nama * فن الأطفال * . Majlis ini telah berlangsung pada Khamis 29 April 2010 di Sekolah Rendah Islam Al-Azhar, Jitra Kedah. Penyertaan adalah dikalangan semua pelajar-pelajar Sekolah Rendah Agama Negeri Kedah dan diuruskan oleh 58 orang urusetia yang mana terdiri daripada semua guru-guru SRI Al-Azhar.

Seramai 353 orang pelajar yang telah menjayakan Hari Kesenian tersebut. Terdapat 15 acara yang dipertandingkan mengikut 3 tahap iaitu tahap pertama, kedua dan terbuka. Acara yang dipertaruhkan antaranya ialah Tilawah Al-Quran, Hafazan Al-Quran, Nasyid, Pidato (Bahasa Arab, Melayu dan Inggeris), Penulisan Khat (tahap 1 & 2), bacaan dalam solat (tahap 1 & 2), bercerita kisah Al-Quran (terbuka kepada lelaki dan perempuan), Kuiz dan Azan. Juara keseluruhan bagi semua acara yang dipertandingkan disandang oleh Sekolah Rendah Islam Alor Setar.

Program tersebut diakhiri dengan majlis Perasmian Penutupan dan Penyampaian Hadiah oleh Yang Berbahagia Tuan Haji Fathullah Suhaimi bin Hj, Ismail, Timbalan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah. Majlis berlangsung dengan lancar dan jayanya. Semua pihak yang terlibat memberikan kerjasama yang baik. Pihak JHEAIK ingin mengucapkan jutaan terima kasih yang tiada terhingga terutama kepada SRI Al Azhar serta individu dan semua yang terlibat menjayakan majlis tersebut.

Categories: Aktiviti

Renungan Buat Yang Terlupa

Kenangkan dosa hari ini, dosa semalam dan hari-hari yang telah berlalu kita lakukan. Alangkah banyaknya…sehingga tidak terhitung. Namun demikian Allah al-Rahman tidak pernah menarik balik nikmat penglihatan, pendengaran dan percakapan yang telah melakukan dosa. Malah Allah al-Rahim sentiasa menutup keaiban dan kekurangan diri kita daripada diketahui oleh orang lain.

Setiap insan tidak dapat lari daripada melakukan dosa dalam menjalani kehidupan seharian. Amat banyak pendurhakaan kepada Allah yang telah kita lakukan sejak baligh hingga ke saat ini. Inilah kelemahan insan yang tidak dapat dinafikan. Firman Allah SWT yang bermaksud :

“Manusia itu diciptakan dalam keadaan lemah.” (Surah al-Nisa’:ayat 28)

Sabda Rasulullah saw yang bermaksud :

“Setiap anak adam sering melakukan kesalahan dan sebaik-baik yang melakukan kesalahan ialah mereka yang sentiasa bertaubat”. ( Ibn Majah )

Sesiapa yang mengatakan bahawa dia tidak mempunyai dosa sebenarnya dia telah melakukan dosa dengan ucapan sedemikian. Firman Allah SWT yang bermaksud :

“Maka janganlah kamu menganggap diri kamu suci. Dan dialah yang Maha Mengetahui siapa yang bertakwa”. ( Surah al-Najm : 32 )

Agama kita memperuntukkan satu amal soleh yang boleh menghapuskan segala dosa yang dilakukan iaitu taubat sebagai mengimbangi kelemahan manusia ini. Allah SWT yang bersifat dengan sifat al-Tawwab ( Maha Penerima Taubat) dan al-Ghafur ( Maha Pengampun) tidak akan membiarkan kelemahan hambanya ini dengan begitu sahaja. Dalam al-Quran bayak dijelaskan keutamaan, dorongan dan perintah agar kita sentiasa bertaubat.

Maksud firman Allah SWT :

“Dan bertaubatlah kamu semua wahai orang-orang yang beriman supaya kamu memperolehi keuntungan.” (Surah al-Nur: 31)

Maksud Firman Allah SWT :

Dan bersegeralah menuju kepada keampunan dari Tuhan kamu dan kepada syurga yang seluas langit dan bumi, disediakan untuk orang-orang yang bertakwa. ( Surah Ali Imran :133)

Allah SWT juga berfirman:

“Dan dirikanlah shalat itu pada kedua tepi siang (pagi dan petang) dan pada bahagian permulaan daripada malam. Sesungguhnya amalan-amalan yang baik itu menghapuskan (dosa) perbuatan-perbuatan yang buruk. Itulah peringatan bagi orang-orang yang ingat.” ( Surah Hud: 114).

Hadis-hadis Nabi saw juga banyak yang menyebut tentang kelebihan dan tuntutan taubat, antaranya ialah ;
Dari Nabi saw bersabda bahawa Allah berfirman ( hadis qudsi ) :

“Wahai hamba-hambaKu, sesungguhnya kamu melakukan kesalahan siang dan malam dan Aku mengampuni semua dosa, oleh itu pohonlah keampunan kepadaKu, nescaya Aku mengampuni kamu.” (Imam Muslim).

Sabda Nabi saw :

“Sesungguhnya Allah SWT sangat gembira dengan taubat hambaNya melebihi kegembiraan salah seorang di antara kamu yang kehilangan untanya di padang pasir kemudian menemukannya kembali”. ( Imam Muslim)

Dalam sabdanya yang lain, Rasulullah mengatakan:

“Sesungguhnya Allah membentangkan tanganNya pada malam hari untuk menerima taubat orang yang berbuat kejahatan pada siang hari, dan Allah membentangkan tangan-Nya pada siang hari untuk menerima taubat orang yang berbuat kejahatan pada malam hari, sampai matahari terbit dari barat.” (Imam Muslim )

Rasulullah saw yang terpelihara daripada dosa dan diutuskan agar menjadi contoh kepada sekalian manusia juga memohon keampunan kepada Allah sebanyak seratus kali dalam sehari sebagai mana hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim. Begitulah petunjuk sunnah Rasulullah saw kepada kita semua agar sentiasa bertaubat setiap masa. Jangan dibiarkan dosa berlanjutan dan dijadikan koleksi dari semasa ke semasa kerana maut datang tanpa isyarat dan amaran. Dosa yang dibiarkan pasti akan memberi kesan buruk kepada kita di akhirat kelak.

Allah SWT yang bersifat Maha Penyayang telah mensyariatkan ibadat yang menjanjikan dosa-dosa diampunkan. Antaranya ;

1- Berwuduk

Rasulullah saw bersabda : “Tidaklah salah seorang daripada kamu mendekati air wuduknya, kemudian berkumur-kumur, memasukkan air ke hidungnya lalu mengeluarkannya kembali, melainkan gugurlah dosa-dosa di (rongga) mulut dan rongga hidungnya bersama air wuduknya, kemudian (tidaklah) ia membasuh mukanya sebagaimana yang Allah perintahkan, melainkan gugurlah dosa-dosa wajahnya melalui hujung-hujung janggutnya bersama titisan air wuduk, kemudian (tidaklah) ia membasuh kedua tangannya sampai ke siku, melainkan gugurlah dosa-dosa tangannya bersama air wuduk melalui jari-jari tangannya, kemudian (tidaklah) ia menyapu kepalanya, melainkan gugur dosa-dasa kepalanya bersama air melalui hujung-hujung rambutnya, kemudian (tidaklah) ia membasuh kedua kakinya, melainkan gugur dosa-dosa kakinya bersama air melalui hujung-hujung jari kakinya.” (Imam Muslim)

2. Solat fardu, solat Jumaat dan Puasa Bulan Ramadan.

Rasulullah saw bersabda :
“Salat lima waktu, Jumaat ke Jumaat, Ramadan ke Ramadan adalah penghapus dosa di antaranya selama dosa-dosa besar dihindari.” (Imam Muslim)

3. Puasa Sunat Asyura’ dan puasa sunat wukuf.

Sabda Rasulullah saw yang bermaksud :“Puasa Arafah dapat menghapuskan dosa setahun yang lalu dan setahun akan datang. Puasa Asyur (10 Muharram) akan menghapuskan dosa setahun yang lalu.”( Imam Muslim )

4. Tasbih, tahmid dan takbir

Sabda Rasulullah saw : “ Sesiapa yang menyebut setiap kali selepas solat dengan tasbih, tahmid dan takbir ( 33x) di akhiri dengan ucapan lah ila ha illa Allah….. maka diampunkan dosa-dosanya walaupun sebanyak buih di lautan. ( Imam Muslim)

Para ulama’ mentafsirkan dosa-dosa yang diampunkan di atas ialah hanyalah dosa kecil sebagai mana pendapat Imam al-Nawawiy dalam kitab syarh Muslim. Dosa besar hanya diampunkan bila dilakukan taubat nasuha.

Begitulah perancangan Allah yang bersifat al-Hakim ( Maha Bijaksana ) menyusun ibadat-ibadat untuk menghapuskan dosa-dosa hambaNya. Solat fardu atau puasa Ramadan yang kita lakukan dengan ikhlas akan memberi kebaikan kepada kita sendiri. Dengan kata lain Allah mewajibkan amalan-amalan tertentu bukan untuk membebankan hamba-hambaNya tetapi sebagai ujian sama ada taat atau ingkar dan untuk menyucikan rohani mereka daripada kegelapan dosa.

Betapa ruginya mereka yang mengabaikan solat fardu dan puasa wajib. Tanpa mereka sedari golongan ini membuat koleksi dosa-dosanya dari semasa ke semasa. Mereka tiada peluang untuk menyucikan jiwa mereka daripada dosa. Lebih malang sekiranya mereka dijemput oleh Malakul Maut secara mengejut tanpa taubat, Na’uzubillah.

Jadikanlah taubat sebagai amalan rutin seharian, pohonlah keampunan dariNya dan laksanakanlah amalan fardu sebaik-baiknya. Semua itu akan menyucikan dosa-dosa yang telah dilakukan. Jangan berputus asa dengan rahmat dan keampunan sekiranya selepas itu kembali melakukan dosa. Jangan terpedaya dengan tipu muslihat syaitan agar kita perputus asa dengan keampunan Allah SWT . Perbaharuilah taubat pada setiap waktu. Pohonlah pimpinan dan bimbingan Allah SWT agar sentiasa istiqamah dalam melakukan taubat kepadaNya.

Categories: Tazkirah
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.